Perihal kematian

Apakah itu kematian?

Oleh Zin Mahmud

Kematian adalah daripada perkataan mati, yang sememangnya asal adalah perkataan Melayu. Ada yang menyangka ia berasal dari perkataan Arab, mawt yang bermaksud mati. Sememangnya ada perkataan maut dalam bahasa Melayu. Perkataan maut sememangnya berasal dari perkataan Arab, mawt. Tetapi mati adalah asal Melayu dan ia wujud dalam bahasa-bahasa rumpun Melayu-Polinesia dari bahasa Malagasy di Madagascar di benua Afrika hinggalah ke bahasa Maori di New Zealand di Lautan Pasifik.

Tetapi perkataan mayat berasal dari Arab, mait dan mayt. Perkataan Arab lain yang diserapkan ke bahasa Melayu adalah jenazah. Di Malaysia, jenazah hanya digunakan untuk mayat orang Islam.

Namun dalam bahasa Melayu, untuk menunjukkan hormat, orang menggunakan ungkapan meninggal dunia.Ungkapan ini hanya digunakan untuk manusia yang dihormati. Kalau tidak menghormati, seseorang menggunakan perkataan mati, mampus atau padam. Bukan manusia, perkataan yang digunakan ialah mati. Tetapi terhadap api dan elektik, perkataan yang digunakan ialah padam.

Apabila melihat ungkapan meninggal dunia, maknanya seseorang itu telah tiada di dunia. Dunia adalah asal dari perkataan Arab dunya. Dalam bahasa Arab, asalnya bermaksud, rendah atau dekat bermaksud kewujudan yang hampir dengan manusia. Dunya dikenali dengan lawannya, iaitu akhirat. Maka dunia bermaksud kewujudan sekarang kerana akhirat adalah kewujudan selepas dunia berakhir.

Jadi kalau dalam bahasa Melayu, meninggal dunia bermaksud pergi ke luar daripada kewujudan yang dilihat ini kepada alam lain. Sememangnya lawan dunia ialah akhirat, seperti ungkapan "dunia dan akhirat." Kewujudan terbahagi dua iaitu dunia dan akhirat. Tetapi akhirat belum berlaku. Jadi apabila seseorang meninggal dunia, ia pergi ke alam barzakh, lepas kiamat, barulah berlaku akhirat dan ia pergi ke sana.

Walaupun mati menjadi kematian, tetapi meninggal dunia tidaklah menjadi kemeninggal-duniaan. Ungkapan "tinggalkan dunia" pula membawa maksud lain. Tinggalkan dunia tidak bermaksud mati. Ia bermaksud seseorang meninggalkan kehidupan keduniaan dan sebaliknya menumpukan pada kehidupan akhirat. Apa yang dimaksudkan dengan kehidupan akhirat ialah beribadat dan beramal bagi mengumpul pahala, sebagai bekalan untuk akhirat.

Namun perkataan tinggal itu boleh membawa dua maksud yang bertentangan. Meninggal atau meninggalkan adalah pergi. Sementara tinggal adalah bermastautin, dan kalau ditinggalkan bermaksud seseorang itu kekal berada di tempat asal sementara orang lain yang pergi.

Kalau dikira pada waktu ini, yang wujud itu dunia, kerana ia belum berakhir. Kiamat dan akhirat belum berlaku, maka sebab itu mereka tidak wujud lagi. Namun bagi mereka yang mati, dunia ini sudah tidak ada. Bagi mereka, apa yang wujud adalah alam barzakh. Jadi yang wujud pada waktu sekarang ialah dunia dan alam barzakh.

Perkataan barzakh dalam bahasa Melayu, berasal dari Arab yang asalnya pula dari bahasa Parsi. Satu lagi perkataan asal Parsi dan terdapat dalam Al-Quran ialah firdaus. Barzakh bermaksud pemisahan. Apa yang dikatakan pemisahan ialah ruang antara dunia dan akhirat.

Seringkali dunia dikatakan sementara dan akhirat itu kekal. Dunia ada permulaan dan akhir, sebab itu ia sementara. Tetapi akhirat ada permulaan tetapi tiada akhir. Barzakh ada permulaan dan ada akhirnya. Ia bermula apabila seseorang mati dan berakhir apabila berlaku kiamat.

Tetapi apakah yang dimaksudkan dengan kekal dan sementara? Apa yang boleh disebut sebagai sementara atau kekal ialah apabila ada jangka waktu. Dengan pergerakan masa, maka barulah ada apa yang dikatakan sementara atau kekal. Di dunia, perjalanan waktu adalah mengikut pergerakan bumi mengelilingi matahari.
Bagi seseorang manusia, jangka waktunya di dunia adalah beberapa kali bumi mengelilingi matahari. Mungkin sekejap atau hayatnya menjangkau 80 atau 90 tahun, kemudian ia mati. Alam barzakh tidak ada ukuran masa. Mungkin sekelip mata bagi manusia. Setelah seseorang mati, dengan sekelip mata dalam alam barzakh, ia sudah sampai pada akhirat. Akhirat juga tidak ada ukuran masa. Selepas kiamat, akhirat berkekalan, tetapi tidak mengikut ukuran masa dunia.

Namun pada waktu ini, dunia masih wujud dan kiamat belum berlangsung. Manusia yang masih hidup pun terus wujud. Tetapi daripada pengalaman, adalah disedari bahawa semua benda hidup pasti akan mati. Tetapi soal barzakh, kiamat, akhirat dan firdaus tidak ada pengalaman sesiapa. Ia terkandung dalam kitab suci yang diwariskan secara turun-temurun.

Perkataan asal Arab bagi firdaus ialah jannah. Bagi orang Melayu, perkataannya adalah syurga. Lawan syurga ialah neraka. Dalam bahasa Arab, neraka adalah nar. Syurga dan neraka berasal daripada perkataan Sanskrit, swarga dan naraka. Dalam bahasa Inggeris, syurga adalah heaven atau paradise. Sementara neraka adalah hell atau purgatory. Perkataan paradise itu juga berasal daripada firdaus.

Heaven apabila diterjemahkan ke bahasa Melayu boleh menjadi syurga, kayangan atau langit. Dalam tradisi China, heaven itu juga bermaksud Tuhan. Sememangnya secara tradisi manusia menganggap Tuhan dan dewa-dewa berada di langit serta puncak gunung. Dalam kosmologi Melayu, kayangan terdapat negeri mereka tersendiri. Dalam tradisi agama, terdapat tujuh lapisan atau petala langit, dengan di atas sekali, ada arasy atau takhta. Di situ juga ada luh mahfuz, iaitu tablet terpelihara dan malaikat. 

Dalam tradisi banyak tamadun, langit adalah seperti bahagian dalam kubah. Bintang-bintang dilihat sebagai tergantung daripadanya seperti lampu-lampu. Sementara gunung-ganang adalah pasak atau tiang bagi langit ini.

Tetapi sains melihat langit sebagai ruang angkasa yang luas. Ia merupakan alam semesta dengan bumi dan bintang adalah sebahagian daripadanya. Tidak ada lapisan langit. Apa yang ada ialah lapisan atmosfera. Tidak ada kayangan.

Dalam banyak tamadun manusia, neraka terletak di dalam bumi dengan api yang menyala-nyala. Tetapi sememangnya di dalam bumi terdapat lapisan batu api yang panas, apabila ia jumpa ruang untuk keluar, maka lahar pun dimuntahkan ke permukaan melalui gunung berapi.

Manusia berkhayal dan mengkaji terhadap sekelilingnya. Dalam hayatnya, ada yang mengajar dan menulis perkara ini, disimpan dalam buku dan dalam bentuk-bentuk lain. Sampai satu ketikanya apabila badannya tidak boleh beroperasi lagi, dia pun mati. Ada jasadnya dikebumikan. Ada yang dibakar. Tetapi akhirnya jasadnya kembali pada alam.

Akhirnya bumi akan musnah apabila matahari menelannya. Tata Suria pun berakhir. Pada masa itu semua kehidupan di Bumi telah pun musnah. Akhirnya alam semesta pun musnah, dan digantikan dengan alam semesta baharu. Ada pula kata terdapat banyak alam semesta, multi-universe, atau multisemesta dan alam semesta selari, parallel universe.

Tetapi buat masa ini, Bumi masih ada. Manusia masih ada. Pembaca tulisan ini juga masih hidup. Tetapi semua manusia pasti bahawa  mereka hanya hidup sementara. Walaupun mereka menjalani hidup seolah-olah tidak mati. Pemikiran mengenai perkara ini wujud dalam otak manusia. Bila seseorang manusia mati, maka hilanglah kesemua pemikirannya. Tetapi sebahagian buah pemikirannya mungkin terus hidup dalam otak manusia lain. Jadi meme. Begitulah seterusnya.

Copyright reserved 2020.

Comments

Popular posts from this blog

Kematian itu tiada