Kematian itu tiada

Kematian itu tidak wujud

Oleh Zin Mahmud

Kematian itu tidak wujud. Bagaimanakah ia boleh menjadi demikian? Sedangkan dapat diperhatikan, adanya mayat dan perkuburan, tidakkah itu merupakan kematian?

Mayat sememangnya wujud. Begitu juga kubur. Tetapi itu bukannya kematian. Apa yang disebut mengenai kematian adalah satu detik di mana kehidupan terhenti. Nyawa itu tiada. Ungkapan yang digunakan antara lain ialah "nyawa melayang." Atau "nyawa dicabut." Kata-kata ini seolahaiolah nyawa itu boleh keluar dari badan. Ini kerana badan tanpa nyawa, ia tidak hidup. Nyawa pula boleh terbang melayang+layang. itulah gambaran yang hendak dibayangkan oleh manusia. Tetapi nyawa tidak dapat dilihat. Apa yang dilihat hanyala kesan terhadap ada atau tiada nyawa.

 Tidakkah detik di mana nyawa itu menghilang adalah kematian? Dari segi perkataan, kematian lawannya ialah kehidupan. Tetapi orang menyebut kehidupan dahulu, barulah kematian. Bukannya kematian barulah kehidupan. Sebelum kematian ada kehidupan. Tetapi sebelum kehidupan, tidak disebut kematian. Detik bermulanya kehidupan disebut kelahiran.

Jadi kelahiran itu adalah seperti kematian, ia merupakan satu detik. Bila ia dilihat dari sudut ini, lawan kematian adalah kelahiran, dan bukannya kematian. Tetapi itupun kelahiran dahulu, barulah ada kematian. Kematian tidak boleh mendahului kelahiran.

Maka kalau lawan kematian adalah kelahiran, apakah lawan kehidupan? Lawan kehidupan adalah tidak hidup. Dalam bahasa Inggeris, ia adalah jelas. Life versus non-life. Life bukan versus death. Jadi kembali pada persoalan, adakah detik kematian itu wujud? Detik kematian itu wujud. Tetapi kematian itu tidak wujud. Detik itu wujud. Satu titik masa apabila nyawa terputus.

Apakah itu nyawa? Dalam bahasa Inggeris, nyawa disebut life. Tetapi life juga merujuk pada hidup. Nyawa adalah perkataan asal Melayu-Polinesia. Ia bermaksud kaum-kaum Polinesia yang tinggal di Lautan Pasifik  turut menggunakan perkataan nyawa. Makna asal nyawa adalah bernafas. Hembusan nafas itu bermaksud hidup. Tetapi perkataan nafas dalam bahasa Melayu asalnya dari bahasa Arab. ia juga berkaitan dengan nafsu. Orang hidup ada nafsu.

Apabila kematian tidak wujud, walaupun detik kematian itu ada, apakah kelahiran dan kehidupan itu wujud? Kelahiran adalah seperti kematian juga, ia merupakan detik. Iaitu waktu apabila seseorang keluar dari tubuh ibunya. itulah detik kelahiran. Tetapi adakah ia bermakna bahawa kehidupannya baru bermula? Selalunya disebut bahawa jangka waktu antara kelahiran hingga kematian adalah merupakan kehidupan tetapi hakikatnya seseorang itu hidup sebelum lahir lagi. Dalam kandungan ibunya, seseorang itu hidup sebelum lahir. Jadi bilakah bermulanya kehidupan? Apabila berlaku persenyawaan. Dalam bahasa inggeris ia disebut fertilisation, dari perkataan fertilise dan fertile. Fertilise itu bermaksud menghidupkan. Fertile adalah subur. fertiliser adalah baja. Jadi dalam bahasa Melayu, nyawa itu wujud bermula dengan persenyawaan, dan ia terus ada hingga detik kematian. sepanjang tempoh itu adalah kehidupan. Kelahiran hanyalah satu detik seseorang berpisah daripada ibunya.

Jadi ada tiga detik utama dalam kehidupan seseorang itu: Detik persenyawaan, detik kelahiran dan detik kematian. Maka kehidupan bermula sebaik saja selepas detik persenyawaam hinggalah sejurus sebelum detik kematian. Tetapi semasa detik persenyawaan, kehidupan belum wujud. Pada detik kematian, kehidupan sudah tiada. Tetapi semasa detik kelahiran, kehidupan sudah ada.

Jadi bilakah seseorang individu manusia itu wujud? Tentulah selepas detik persenyawaan hinggalah pada detik kematian. Kalau kematian dianggap tidak wujud, adakah persenyawaan itu wujud? Sama juga. Apa yang wujud adalah detik apabila sperma menembus masuk ovum. Setelah gabungan dua sel berlaku, maka wujudlah individu seseorang, dengan berbentuk janin hinggalah kelahiran. Selepas lahir, janin sudah terbentuk menjadi tubuh badan. Selepas detik kematian, ia menjadi jasad, kemudian mayat atau jenazah, dan kemudiannya menjadi rangka. Kalau dibakar, ia menjadi debu.

Tetapi bilakah diri seseorang individu itu terbentuk? Ada lima  peringkat diri seseorang. Pertama, selepas persenyawaan tetapi otak belum terbentuk. Selepas otak terbentuk tetapi tidak boleh berfungsi sepenuhnya. Ketiga, apabila otak berfungsi sepenuhnya tetapi belum ada ingatan sepenuhnya.  Keempat, ingatannya sudah terbentuk. Ingatan atau memorilah yang membentuk seseorang. Kelima. fungsi otak sudah terjejas dengan banyak ingatannya sudah hilang.

Peringkat pertama itu adalah ketika seseorang dalam bentuk janin dengan otak belum terbentuk. Peringkat kedua, otak sudah terbentuk tetapi belum berfungsi sepenuhnya. Apa yang dimaksudkan otak berfungsi sepenuhnya ialah apabila seseorang sedar tentang dirinya yang terasing daripada individu lain terutama ibunya. Keadaan ini berlaku sebelum dan sesudah dilahirkan. Hanya apabila terbentuk ingatan, barulah seseorang itu masuk pada peringkat ketiga iaitu sekitar umur dua tahun hingga empat. Sebahagian ingatan ini akan dibawa sepanjang hayat. Peringkat ini dikatakan adanya kesadaran, atau consciousness. Ia berlangsung hinggalah pada satu peringkat apabila seseorang mula hilang ingatan, atau nyanyuk, iaitu apabila seseorang sudah menjadi tua menjelang detik kematian. Ini adalah peringkat kelima. Diri seseorang itu wujud dalam semua peringkat, tetapi apa-apa yang dikatakan benar-benar sebagai diri adalah ketika memiliki ingatan. Selain itu, sama ada sebelum, atau sesudah, diri seseorang tidak disedar oleh diri sendiri, tetapi adalah pandangan dari sudut orang lain.

Selepas detik kematian, diri seseorang tidak wujud lagi. Apa yang ada hanyalah dua perkara. Pertama jasad. Kedua, ingatan terhadap orang yang telah mati itu. Dalam bahasa Inggeris, ia disebut body. Ketika bernyawa, ia juga disebut sebagai body. Selepas mati, ia terus disebut body atau corpse. Tetapi corpse hanyalah jasad yang sudah tidak bernyawa. Tetapi dalam bahasa Melayu, ketika hidup disebut tubuh, badan atau tubuh badan. Tetapi selepas detik kematian, ia disebut jasad. Itupun untuk beberapa ketika sebelum ia dipanggil sebagai mayat atau jenazah. Jenazah untuk orang beragama Islam. Ia kemudian dikebumikan atau dibakar, dan lambat laun yang menjadi rangka atau debu. Dalam bahasa Inggeris, ia disebut remains atau tinggalan.

Sementara itu, perkara kedua iaitu ingatan manusia lain mengenai seseorang yang sudah melalui detik kematian merupakan satu meme. Ingatan itu boleh dipanjangkan dalam pelbagai bentuk. Mungkin dari cerita-cerita, tulisan, nyanyian, gambar, kuburnya, batu nesan, binaan makamnya atau hasil-hasil kerjanya.

Antara hasil kerjanya termasuk pembinaan keluarganya. Anak cucunya boleh membawa ingatan terhadap dirinya. Walaupun mereka kesemuanya keturunan seseorang, dengan DNA diwarisi, tetapi mereka adalah tetap individu yang berasingan.

Akhirnya apa yang disebut sebagai kematian adalah suatu detik. Kehidupan adalah lebih panjang. Ia  bukan hanya detik tetapi suatu fasa selepas detik persenyawaan hingga detik kematian. Tetapi apa yang dianggap sebagai diri adalah pada detik otak terbentuk hinggalah pada detik kematian. Tetapi tentang diri yang disedari oleh seseorang itu sendiri, ia hanya berlaku ketika muncul ingatan hinggalah ia hilang. Iaitu pada waktu-waktu sebelum detik kematian.

Selepas itu diri seseorang itu tidak wujud. Namun kesan daripada kewujudan dirinya terus ada dalam pelbagai bentuk lain. Iaitu daripada ingatan generasi-generasi kemudiannya, atau unsur-unsur dirinya yang lebur, walaupun ia dalam bentuk debu, hasil daripada pembakaran mayatnya.


Copyright reserved 2020.K

Comments